KOTA KINABALU: Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah Jabatan Ketua Menteri akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas susulan maklum balas yang diterima daripada komuniti perniagaan dan industri dalam Forum dan Townhall Hala Tuju Pelan Pembangunan SMJ 2.0 (2026–2030) yang diadakan di Tuaran.
Program separuh hari itu menghimpunkan wakil persatuan industri, dewan perniagaan, badan profesional, usahawan belia, PKS dan pembuat dasar bagi memberi pandangan terhadap hala tuju ekonomi Sabah lima tahun akan datang, termasuk aspek daya saing sektor swasta, ekonomi digital, pembangunan bakat, kecekapan peraturan dan kesiapsiagaan pelaburan.
Peserta menyuarakan keperluan terhadap penyelarasan dasar antara agensi, proses kelulusan yang lebih pantas, pelaksanaan inisiatif ekonomi digital yang lebih jelas serta mekanisme kerjasama awam-swasta yang lebih tersusun di bawah SMJ 2.0.
Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat SMJ, Datuk Haji Datu Rosmadi Datu Sulai berkata, sebagai respons segera, Sekretariat SMJ memulakan penubuhan Jawatankuasa Khas bagi menyelaras isu industri, menterjemah maklum balas kepada input dasar yang boleh dilaksana, serta memperkukuh kerjasama antara agensi dan pihak industri sepanjang tempoh perancangan 2026 hingga 2030.
Hasil perbincangan forum dan townhall itu akan didokumenkan dan dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah pada 30 Januari 2026.






