KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan menahan sebuah bot lampu yang dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut di perairan timur Tanjung Melanim.
Bot tersebut ditahan kira-kira 0.5 batu nautika dari pantai selepas dikesan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang dan berpotensi merosakkan ekosistem marin.
Pengarah Maritim Sabah dan W.P. Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penggunaan lampu di dasar laut adalah dilarang kerana menarik hidupan marin secara tidak terkawal dan menjejaskan keseimbangan ekosistem.
“Pemeriksaan mendapati dokumen kru meragukan serta gagal mengemukakan dokumen pertukaran juragan yang sah.
“Seramai dua kru warga Filipina berusia 54 dan 19 tahun turut ditahan bersama vesel bagi membantu siasatan,” katanya.
Beliau menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang perikanan dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.






