Pemuda Gagasan Rakyat Sokong Titah Agong, Isu MA63 Perlu Diurus Dengan Kebijaksanaan...

Pemuda Gagasan Rakyat Sokong Titah Agong, Isu MA63 Perlu Diurus Dengan Kebijaksanaan – Azrul

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pemuda Gagasan Rakyat menyambut baik titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menekankan keperluan menjadikan isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai pedoman bersama, khususnya dalam mengurus perkara yang sering dibahaskan secara terbuka dan memerlukan kebijaksanaan semua pihak demi kepentingan negara.

Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, titah Baginda agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara Sabah, Sarawak, Semenanjung dan Kerajaan Persekutuan adalah peringatan yang amat tepat pada masanya.

“Malaysia tidak dibina atas perbezaan pandangan yang memecah-belahkan, sebaliknya atas semangat perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, semalam.

Beliau menegaskan, sebagai anak muda Sabah, tuntutan hak negeri bukan bertujuan memecah-belahkan Persekutuan, sebaliknya untuk memperkukuhnya.

Usaha menuntut dan menunaikan hak Sabah di bawah MA63, termasuk berkaitan pemberian 40 peratus hasil Sabah, perlu terus diperkasakan melalui komitmen berterusan Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan.

Menurut Azrul, pendekatan berunding, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan telah membuahkan hasil apabila beberapa tuntutan MA63 berjaya direalisasikan, manakala tuntutan lain sedang diteruskan secara berperingkat dan penuh kesepakatan.

“Ini membuktikan bahawa ketegasan tidak memerlukan retorika, dan keberanian tidak menuntut hasutan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa hak negeri perlu dihormati tanpa mengabaikan kepentingan Malaysia secara keseluruhan, dan perjuangan hak Sabah bukan bermakna menafikan semangat Persekutuan, sebaliknya pembangunan Sabah yang adil dan bermaruah akan memperkukuh kemajuan, kestabilan dan perpaduan negara.

Azrul menyeru golongan muda supaya menolak politik yang memperbesar perbezaan pandangan, sebaliknya mengamalkan politik solusi yang berasaskan kebijaksanaan, integriti dan rasa tanggungjawab.

“Seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, setiap keputusan politik hari ini bukan sekadar pendirian parti, tetapi penentu masa depan negara,” katanya.