PENAMPANG, SABAH – Kemalangan melibatkan dua kenderaan merempuh sebuah kedai elektronik di Plaza Mahkota, Putatan pada Isnin disebabkan kecuaian seorang pemandu.
Ketua Polis Daerah Penampang DSP Sammy Newton berkata, kejadian 11.30 pagi membabitkan sebuah Proton Saga dan Toyota Vios yang tular di media sosial itu akibat salah seorang pemandu tertekan pedal minyak ketika hendak keluar dari petak parkir.
“Ia menyebabkan kenderaan yang diapndunya hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan dan terperosok masuk ke dalam sebuah premis pernigaan di kawasan tersebut.
“Kedua-dua pemandu dilaporkan tidak mengalami sebarang kecedaraan,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) kerana gagal mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.
Sammy menasihatkan orang ramai agar tidak memuatnaik sebarang maklumat tidak sahih di mana-mana platform media sosial bagi mengelakkan salah faham yang boleh menimbulkan kegusaran awam.