KOTA KINABALU: Seni dan esports bukan lagi sekadar hiburan, sebaliknya berpotensi menjadi medium membentuk disiplin, kreativiti dan jati diri positif dalam kalangan generasi muda.
Perkara itu diketengahkan seorang pensyarah dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Sharip Zainal Sagkif Shek menerusi perkongsian bertajuk “Seni dan Esports Nadi dan Jati Diri Anak Muda” sempena Kejohanan E-Sport Skuad Antidadah Kota Kinabalu 2026, pada Sabtu.
Kejohanan yang diinspirasikan Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Kota Kinabalu, Osman Johari itu menjadi antara pendekatan mendekati golongan muda melalui medium yang dekat dengan minat generasi digital, sekali gus memperluas usaha pencegahan dadah melangkaui kaedah konvensional.
Dalam perkongsiannya, Sharip menekankan perubahan zaman menuntut pendekatan terhadap golongan muda turut berubah, termasuk memanfaatkan minat terhadap dunia digital sebagai ruang membina kreativiti, disiplin, daya saing, komunikasi dan semangat berpasukan.
Program itu disempurnakan Pengerusi Skuad Antidadah Daerah Tawau, Rudhi Hariyanto Ghazali selaku wakil perasmi.
Seramai 17 pasukan menyertai kejohanan berkenaan yang mempertandingkan dua kategori, iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dan PUBG Mobile (PUBGM).
Bagi kategori MLBB, AE R CE muncul juara diikuti EL SAGA sebagai naib juara dan Wenez Esport di tempat ketiga, manakala anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) menjadi milik Banimarung.
Kategori PUBG Mobile pula menyaksikan 7K dinobatkan sebagai juara, diikuti Starlite di tempat kedua dan 4 KRV di tempat ketiga.
Kejohanan menawarkan hadiah keseluruhan RM5,000 dengan RM2,500 diperuntukkan bagi setiap kategori.
Penganjuran itu bukan sahaja menyediakan ruang persaingan sihat kepada peminat esports, malah memperlihatkan bagaimana minat golongan muda boleh dimanfaatkan sebagai pintu masuk kepada pembangunan belia dan usaha pencegahan dadah.
Pendekatan berkenaan turut membawa mesej bahawa usaha mendekati generasi muda perlu bergerak seiring perubahan semasa dengan memahami minat dan ruang mereka, seterusnya menggunakannya untuk membentuk jati diri yang lebih positif.






