RANAU: Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas 27 botol berisi air ketum dalam dua serbuan berasingan di sebuah perkampungan di daerah ini, Isnin lalu.
Kedua-dua suspek berusia 25 dan 37 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau hasil risikan berterusan serta maklumat daripada masyarakat setempat.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 5.30 petang membabitkan penahanan seorang lelaki berusia 25 tahun.
Menurutnya, polis merampas 10 botol mineral berisi air ketum dengan setiap botol berkapasiti 1.5 liter, selain sebuah kotak polisterin, kaki dapur, tong gas, dapur memasak dan periuk yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum.
“Dalam serbuan kedua kira-kira 10 minit kemudian, seorang lagi lelaki berusia 37 tahun ditahan bersama 17 botol mineral berisi air ketum dengan setiap botol berkapasiti 1.5 liter.
“Turut dirampas sebuah peti berwarna merah, dua tong gas, sebuah dapur memasak dan periuk yang dipercayai digunakan dalam proses memasak air ketum,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mursalin berkata, kejayaan berkenaan adalah hasil risikan berterusan pihak polis serta kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan menyalahi undang-undang di kawasan berkenaan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada masyarakat Ranau atas kerjasama dan sikap prihatin dalam membantu polis menjaga keselamatan serta kesejahteraan daerah itu.
“PDRM IPD Ranau akan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti menyalahi undang-undang demi memastikan kesejahteraan masyarakat di daerah ini.
“Masyarakat memainkan peranan penting sebagai mata dan telinga polis dengan menyalurkan maklumat awal supaya tindakan pencegahan dan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan pantas dan berkesan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, polis turut menekankan peranan Pegawai Perhubungan Sektor Kampung dalam memperkukuhkan hubungan antara PDRM dan masyarakat bagi mewujudkan persekitaran yang selamat, aman dan sejahtera.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau aktiviti menyalahi undang-undang diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Ranau di talian 088-875222. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.






