Beri Perhatian Khusus Pada Penguasaan Bahasa Inggeris, Tingkat Kebolehpasaran Graduan – James...

Beri Perhatian Khusus Pada Penguasaan Bahasa Inggeris, Tingkat Kebolehpasaran Graduan – James Ratib

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penguasaan Bahasa Inggeris perlu diberi perhatian khusus sebagai antara agenda utama dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memperkukuh daya saing modal insan di Sabah, kata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib.

Beliau berkata, kemahiran berbahasa Inggeris yang baik merupakan keperluan penting bagi membolehkan generasi muda bersaing dalam dunia yang semakin mencabar dan berdaya saing tinggi, selain menjadi pelengkap kepada kecemerlangan akademik.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) terus merangka serta memperkukuh pelbagai program dan aktiviti yang mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid dan pelajar di semua peringkat pendidikan.

Kerajaan Negeri komited untuk terus memperkukuh aspek penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sebagai pelengkap kepada kecemerlangan akademik. Langkah ini penting dalam melahirkan generasi Sabah yang kompeten, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran global pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Raisin Saidin, yang membentangkan pencapaian keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 serta perkembangan prestasi pendidikan negeri di sini, hari ini.

Dalam sesi pembentangan itu, Raisin memaklumkan prestasi STPM Sabah terus menunjukkan peningkatan apabila Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) negeri meningkat kepada 2.78 pada tahun 2025 berbanding 2.77 pada tahun sebelumnya.

Selain itu, bilangan calon yang memperoleh PNGK 4.00 turut meningkat kepada 158 orang berbanding 146 orang pada tahun 2024, manakala peratus kelulusan penuh meningkat kepada 98.87 peratus.

James berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan warga pendidik, pelajar serta sokongan ibu bapa dalam memperkukuh kecemerlangan akademik di Sabah.

Beliau turut merakamkan tahniah kepada semua calon STPM 2025 Sabah atas kejayaan yang dicapai, khususnya kepada Ahmad Mursyied Umair Darwis dari SMK (Agama) Kota Kinabalu yang dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi Aliran Sains Sosial.

Menurutnya, kejayaan itu membuktikan anak-anak Sabah mempunyai potensi besar untuk mencapai kecemerlangan tertinggi serta mampu bersaing dengan pelajar terbaik di negara ini apabila diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada para guru, pentadbir sekolah dan ibu bapa atas dedikasi serta komitmen mereka dalam membimbing pelajar sehingga berjaya mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan.