KOTA KINABALU: Daerah Papar kini kembali mengalami kekurangan bekalan air terawat akibat penghentian operasi Loji Rawatan Air (LRA) Skim Bekalan Air Kecemasan (EWSS) di Kampung Limbahau sejak sambutan Hari Raya Aidilfitri hari kedua.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, penghentian sementara operasi LRA EWSS itu adalah disebabkan air masin masih masuk ke dalam LRA tersebut manakala air daripada bahagian hulu semakin berkurangan.
“Jadi kita menghentikan operasi LRA itu bagi mengelakkan kejadian air masin di proses sebagai air terawat.
“Walau bagaimanapun, loji yang dimiliki oleh Jetama masih meneruskan operasi mereka tapi bukan pada kadar 13 juta liter sehari (MLD), hanya pada kada 9 MLD,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Tuaran, semalam.
Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, ketika ini daerah itu kekurangan air terawat sekitar 14 MLD.
“Jadi kita berdoa semoga hujan kembali turun terutamanya di kawasan tadahan supaya membolehkan keadaan menjadi boleh diproses kembali air sungai yang ada.
“Dan pada ketika ini juga, kita telah pun memulakan semula aktiviti penghantaran air menggunakan lori-lori tangki air kepada penduduk di sekitar daerah Papar yang terjejas teruk,” jelasnya.