Kelonggaran Diberikan Kerajaan Negeri Bakal Pulihkan Aktiviti Pelancongan Sabah

Kelonggaran Diberikan Kerajaan Negeri Bakal Pulihkan Aktiviti Pelancongan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin optimis dengan masa depan aktiviti pelancongan negeri Sabah.

Katanya ia akan kembali pulih terutama selepas kebenaran rentas negeri dikuatkuasakan bermula awal bulan ini.

“Ini diikuti dengan kelonggaran yang diberi kepada pelawat yang masuk ke Sabah tanpa perlu menjalani ujian saringan COVID-19 bermula 1 Disember depan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan setinggi tinggi penghargaan khususnya kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di atas kelonggaran terbaharu prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan baru-baru ini.

“Bagi menggerakkan kembali industri pelancongan, kerajaan, pihak industri dan masyarakat perlu bersama-sama berperanan membangunkan semula industri pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19…

Datuk Jafry Ariffin…

“Antara langkah yang kini giat dilaksanakan oleh pihak Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar menerusi Lembaga Pelancongan Sabah adalah termasuk pengiklanan promosi penawaran pakej percutian kepada orang awam,” katanya lagi.

Menurutnya, langkah proaktif ini dilihat berjaya membantu sektor pelancongan kembali bersinar.

Dalam pada itu, beliau menyeru semua pemain industri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.