PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditahan pihak polis kerana disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah ibadat di sekitar Daerah Putatan, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek ditahan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Penampang di hadapan sebuah hotel di Daerah Tuaran, hasil risikan dan maklumat awam.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam empat kes pecah rumah ibadat (masjid) di sekitar Putatan, melibatkan kerugian dianggarkan berjumlah RM2,250,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, semasa tangkapan dilakukan, polis turut merampas sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kota Kinabalu, dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di kediaman suspek membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah serta sejumlah wang tunai,” tambahnya.
Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas suspek turut mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis Methamphetamine (syabu).
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah, Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana penyalahgunaan dadah.
“Polis Penampang akan terus mempergiatkan usaha membanteras jenayah serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Kita juga menyeru orang ramai untuk menjadi mata dan telinga PDRM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah,” kata Sammy.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah demi menjaga ketenteraman awam.