KOTA KINABALU, SABAH – Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) hanya mampu meminta penduduk kawasan utara daerah ini terutamanya kawasan Sepanggar untuk berjimat dalam penggunaan air harian sehingga bulan Jun tahun depan (2022) bagi menghadapi gangguan bekalan air yang bakal berlaku.
Pengarah JANS, Ir. Edward Lingkapo berkata dua Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Telibong 1 dan 2 yang terletak di Tamparuli sedang beroperasi dalam kekurangan 30 juta liter air sehari (MLD) untuk keselesaan lebih 40,000 penduduk setiap hari.
“Dalam keadaan biasa, seorang individu menggunakan 250 liter sehari jadi kita perlu kurangkan itu kepada 180 liter sehari…
“Kalau semua pengguna dapat melaksanakan perkara ini, kita dapat memastikan bekalan sentiasa ada di semua kawasan sepanjang tempoh catuan,” katanya kepada media hari ini.
Katanya keperluan sebenar pengguna di kawasan Sepanggar melebihi 190 MLD namun kedua-dua LRA Telibong hanya mampu mengeluarkan 74 dan 90 MLD dengan jumlah keseluruhan 164 MLD.
Katanya selain kerosakan DUA (2) pam LRA di Telibong 1, kecurian air juga menjadi punca kekurangan bekalan air.
“JANS kehilangan sehingga lapan (8) MLD air sehari dan memBelanjankan hampir setengah juta setahun namun perkara itu (kecurian air) tetap berulang…
“Operasi pemotongan air haram dilakukan tetapi pada waktu malam ianya akan dipasang semula penduduk setinggan,” katanya.
Dalam menangani hal itu, Edward meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Pihak Berkuasa Tempatan yang lain untuk mengawal pembangunan di sekitar bandar raya.
Bagi menyelesaikan hal kekurangan atau tiada air langsung yang dihadapi penduduk, Edward berkata melalui pihak konsesi, JANS menyediakan catuan air kepada beberapa kawasan air yang terputus namun tidak mengulas lanjut tentang pencapaian kawasan dan kuantiti yang diberi.
Pada Sabtu lalu, lebih 200 orang penduduk University Condo Apartment 2 (UCA 2) telah berkumpul untuk menyuarakan kemarahan serta kekecewaan mereka berkaitan isu terbabit kepada pengurus hartanah, Wong Kwok Group (W Group) dan JANS.

Rata-rata penduduk menyifatkan pengurusan JANS bersifat ‘tak endah’ dan sebaliknya menunding jari kepada pihak pengurusan yang juga buntu dalam mendapatkan sumber air.
Namun, tiada wakil JANS yang hadir dalam pertemuan tersebut.

“Isu tiada air mengakibatkan kos kehidupan kami melambung tinggi. Semua makanan dan air terpaksa dibeli sehingga ada daripada kami terpaksa mandi di pejabat kerja,” kata seorang penduduk.
Bagi seorang ibu yang ingin dikenali sebagai Leha, 34, beliau berkata tekanan fizikal itu juga memakan mental keluarganya.
“Kalau ada anak saya tertumpah minuman, atau menggunakan lebih daripada dua gayung air semasa membuang air besar, diri saya akan mula marah kerana terfikir sumber air yang terhad…
“Baru-baru ini ada seorang tua yang tinggal di tingkat 3 bangunan ini jatuh ketika cuba mengangkat catuan air dari bawah, tapi itu pun tidak cukup,” katanya.
Menurut beliau, setakat Sabtu lalu, sudah masuk 10 hari mereka hidup tanpa air.
“Kami rela hidup tanpa bekalan elektrik daripada air kerana ia adalah keperluan asas manusia,” tambahnya.





