KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 108 kes COVID-19 baharu berbanding hari sebelumnya. Jumlah bagi Ahad ialah 437 KES.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata lebih banyak daerah yang mencatatkan penurunan kes.
“Antaranya ialah Penampang (-10), Papar (-11), Kota Belud (-19), Tenom (-12) dan Tuaran (-25)…
“Kota Kinabalu kekal penyumbang terbanyak kes baharu dengan 98 kes, tambahan enam (6) kes berbanding kelmarin,” katanya
Kinabatangan menambah 17 kes baharu daripada Kluster Sawit Mania, sebuah kluster tempat kerja, yang diisytiharkan hari ini.
Masidi berkata daerah-daerah yang sering mencatatkan jumlah kes harian tinggi juga mencatat jangkitan secara sporadik (kategori bergejala) dalam jumlah yang banyak.
“Sebanyak 45 daripada 98 kes di Kota Kinabalu hari ini adalah melalui saringan bergejala. Sebanyak 19 daripada 39 kes di Penampang, 23 daripada 38 di Kota Belud dan 13 daripada 26 di Ranau…
“Secara keseluruhan 46 peratus (46%) atau 201 daripada 437 kes hari ini merupakan kes saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan secara sporadik,” beliau berkata.
Dalam pada itu beliau menegaskan kepentingan mengamalkan disiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) khususnya apabila berada di tempat awam atau dalam perjumpaan secara berkumpulan.
“Sebagai langkah mempertingkatkan imuniti badan kita, amatlah digalakkan agar semua yang layak mendapatkan dos penggalak (booster dose) mengikut jadual,” tambahnya.
Tetapi bagi Sabah, jumlah pesakit yang mengalami kesan serius akibat jangkitan COVID-19 masih dianggap rendah.
“Hanya dua (2) orang pesakit dilaporkan dalam Kategori 3, satu (1) pesakit dalam Kategori 4 dan tiga (3) dalam Kategori 5…
“Sebanyak 420 orang daripada 437 pesakit hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, iaitu mereka yang tidak mengalami sebarang gejala atau sekadar gejala ringan,” jelasnya sambil menambah seramai 11 pesakit lagi masih dalam penilaian.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (21 Nov) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu – 98 (92)
Penampang – 39 (49)
Kota Belud – 38 (57)
Papar – 32 (43)
Ranau – 26 (28)
Tenom – 24 (36)
Tuaran – 22 (47)
Beaufort – 19 (18)
Putatan – 19 (18)
Kinabatangan – 17 (2)
Keningau – 14 (14)
Telupid – 13 (13)
Sandakan – 13 (10)
Kota Marudu – 13 (26)
Kudat – 10 (16)
Kuala Penyu – 9 (6)
Lahad Datu – 9 (5)
Tambunan – 5 (13)
Tawau – 5 (13)
Sipitang – 4 (17)
Beluran – 2 (3)
Kunak – 2 (0)
Tongod – 2 (6)
Pitas – 1 (8)
Kalabakan – 1 (1)
Semporna – 0 (3)
Nabawan – 0 (1)





