
SOOK, SABAH – Individu yang aktif dalam sukan berbasikal diseru mengutamakan keselamatan ketika berkayuh di jalan raya demi kesejahteraan semua pihak.
Demikian kata Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin yang hadir dalam Program Kayuhan Etika Berbasikal yang diadakan di Dewan Masyarakat Sook, Keningau hari ini.
“Saya juga melihat trend terhadap minat berbasikal sekarang ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat…
“Oleh itu program sebegini adalah wajar dilaksanakan memandangkan ada segelintir rakyat kurang sedar akan aspek keselamatan ketika berbasikal di jalan raya,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Ellron berkata program itu atas usahasama Kementerian dan Belia dan Sukan Sabah Bahagian Pedalaman serta bersama-sama dengan beberapa agensi kerajaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Program ini turut menampilkan ceramah berkenaan salah laku jenayah, yang mana ilmu pencegahannya seharusnya dititikberatkan oleh masyarakat hari ini,” ujar beliau.
Ellron yang juga ADUN Sook itu hadir untuk menyempurnakan pelepasan para peserta kayuhan basikal.
Laluan sejauh 20 kilometer yang bermula di Dewan Masyarakat Sook itu memerlukan para peserta untuk mengayuh ke Kampung Malima dan kembali ke garisan penamat yang juga di Dewan Masyarakat Sook.
Program yang berlangsung selama dua hari itu bermula dengan Bengkel Etika Keselamatan Berbasikal pada Sabtu.
Program Bengkel Etika Keselamatan Berbasikal diisi dengan tiga slot ceramah yang berbeza iaitu ceramah berkaitan keselamatan jalan raya, salah laku jenayah dan ceramah berkenaan komponen basikal.
Program itu disertai 30 orang peserta yang terdiri para peminat sukan berbasikal serta belia yang berasal dari Daerah Kecil Sook manakala Program Kayuhan Etika Berbasikal menyaksikan penyertaan seramai 136 individu yang terdiri daripada pegawai Kementerian dan Belia Sukan Sabah, Majlis Sukan Negeri Sabah, serta mereka yang mendaftar secara dalam talian dan ‘walk-in’.
Program tersebut turut dihadiri Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap ADUN N.44 Tulid, YB Flovia Ng; Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Mansur Asun; Timbalan Setiausaha Tetap KBSS, Putera Jali, Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Sook, Tony Talasoy dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Tulid Casmir Silip.