BEAUFORT – Seorang lelaki warga tua mati selepas dipercayai terperangkap dalam kenderaan dihanyutkan arus banjir di kawasan Jalan Sipitang-Beaufort berhampiran Kampung Lingkungan di sini, malam tadi.
Naidi Gamaine, 63, dipercayai terperangkap dalam kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipandunya dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu.
Difahamkan, kenderaan berkenaan dihanyutkan banjir sebelum memasuki parit di tepi jalan sedalam lebih 1.5 meter.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang Rastam Keladi, berkata bomba menerima panggilan pada jam 10.16 malam dan tiba di lokasi kira-kira 20 minit kemudian.
“Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap kira-kira 30 minit kemudian dan dia didapati sudah meninggal dunia.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk urusan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Seramai 12 anggota bomba Sipitang dan Beaufort terbabit dalam operasi yang tamat pada jam 1 pagi itu.