KOTA KINABALU: Kanser kolorektal atau kanser usus besar antara kanser paling kerap berlaku di Malaysia, namun majoriti kes masih dikesan pada peringkat lewat walaupun penyakit ini sebenarnya boleh dicegah dan dirawat lebih awal.
Menurut data Laporan Perangkaan Kanser Kebangsaan 2017–2021, kanser kolorektal merupakan kanser tertinggi di negara ini, diikuti kanser paru-paru dan prostat.
Pakar Pembedahan Am dan Felo Pembedahan Kolorektal Hospital UMS, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Mohd Firdaus Mohd Hayati berkata, antara punca utama kelewatan diagnosis ialah kurangnya kesedaran terhadap gejala awal yang sering dianggap remeh.
“Pada peringkat awal, kanser kolorektal selalunya tidak menunjukkan tanda jelas. Gejalanya seperti sembelit, cirit-birit, kembung perut atau rasa tidak puas selepas membuang air besar sering disalah anggap sebagai masalah biasa seperti gastrik atau stres,” katanya, dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, ramai pesakit hanya mendapatkan rawatan apabila gejala menjadi serius seperti usus tersumbat, muntah, penurunan berat badan atau apabila kanser sudah merebak ke hati dan paru-paru sehingga menjejaskan fungsi organ.
Dr Mohd Firdaus turut menegaskan bahawa pendarahan ketika membuang air besar tidak seharusnya terus dianggap sebagai buasir.
“Pendarahan dubur adalah antara tanda penting kanser kolorektal, terutama jika disertai perubahan tabiat buang air besar, kurang selera makan atau penurunan paras darah merah. Menganggap semua pendarahan sebagai buasir menyebabkan peluang pengesanan awal terlepas,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Pembedahan Am dan Kolorektal Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Ismail Sagap berkata, stigma dan rasa malu terhadap pemeriksaan usus turut menjadi faktor penghalang.
“Ramai menganggap pemeriksaan seperti kolonoskopi sebagai memalukan atau menakutkan, sedangkan ia prosedur perubatan yang selamat dan penting untuk mengesan penyakit lebih awal,” katanya.
Beliau menekankan bahawa pendidikan kesihatan awam perlu diperkukuh dan saringan berkala dipromosikan, khususnya kepada individu berusia 50 tahun ke atas atau mereka yang mempunyai sejarah keluarga kanser kolorektal.
Menurutnya, tujuan saringan adalah untuk mengesan polip usus sebelum ia bertukar menjadi kanser, dan rawatan pada peringkat awal jauh lebih berkesan dengan kadar kelangsungan hidup yang tinggi.
“Kita perlu melihat kanser kolorektal sebagai isu kesihatan awam. Dengan kesedaran, saringan dan tindakan awal, banyak nyawa boleh diselamatkan,” tegas beliau.
Orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan pemeriksaan sekiranya mengalami perubahan tabiat buang air besar, pendarahan dubur atau gejala berpanjangan, serta tidak menangguhkan saringan walaupun berasa sihat.






