Nurchaya Cipta Sejarah Presiden Wanita Pertama SSA

Nurchaya Cipta Sejarah Presiden Wanita Pertama SSA

0
SHARE

KOTA KINABALU: Persatuan Menembak Sabah (SSA) mencipta sejarah apabila bekas hakim Mahkamah Tinggi, Nurchaya Arsad, dipilih sebagai presiden wanita pertama persatuan itu.

Pelantikan tersebut dilihat sebagai langkah penting dalam usaha memperkasa sukan menembak di Sabah yang sebelum ini didominasi lelaki.

Dalam ucapan sulungnya pada pemilihan 29 Mac lalu, beliau merakamkan penghargaan atas kepercayaan ahli serta komited memacu pertumbuhan sukan, memperluas keahlian dan memperkukuh perpaduan dalam persatuan.

Beliau menegaskan kejayaan hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat antara jawatankuasa dan ahli, selain mengiktiraf kepelbagaian latar belakang sebagai kekuatan utama SSA.

Nurchaya turut berharap SSA dapat menjadi ruang lebih inklusif dan mesra, bukan sekadar untuk pertandingan tetapi sebagai komuniti yang mengeratkan hubungan sesama ahli.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada penyumbang terdahulu yang banyak berjasa kepada pembangunan persatuan.

Barisan jawatankuasa baharu menyaksikan Kia Min Ting sebagai naib presiden, Calson Cassey sebagai setiausaha, Julius Kow Hung Seng sebagai penolong setiausaha, Adrian Zaini sebagai bendahari dibantu Wong Han Leon, serta Tan Guan Jing sebagai kapten bersama penolongnya Thomas Kiu Chiong Hei.