KPKT Jadi Pemudah Cara Isu Cukai Hiburan Penggiat Seni Dengan Kerajaan Negeri...

KPKT Jadi Pemudah Cara Isu Cukai Hiburan Penggiat Seni Dengan Kerajaan Negeri – Reezal Merican

0
SHARE
Krediti Foto: FB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican...

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membantu penggiat industri seni sebagai pemudah cara mengenai isu cukai hiburan dengan kerajaan negeri.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kementerian itu akan cuba membantu golongan tersebut memandangkan pengenaan cukai hiburan terletak dalam bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

“Saya mendengar keresahan dan keluhan yang membelenggu penggiat industri berkenaan cukai hiburan yang hangat dibincangkan. Saya faham bukan senang untuk menghasilkan karya yang berkualiti serta menepati jiwa dan selera para penonton,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook beliau semalam.

Dalam hantaran itu, Reezal Merican turut memaklumkan beliau hari ini bertemu penerbit dan pengarah terkenal Datuk Yusof Haslam serta pemilik Studio Kembara yang juga penerbit filem Mat Kilau, Abdul Rahman Mat Dali.

Beliau berkata dalam pertemuan tersebut mereka membincangkan mengenai perkembangan industri seni negara serta kejayaan filem Mat Kilau yang kini mencipta rekod yang amat mengagumkan.

Reezal Merican berkata industri seni juga sebahagian daripada komponen yang melengkapi aspek daya huni Keluarga Malaysia dan mengharapkan industri seni negara akan terus berkembang dengan membawa mesej membina merentas generasi.

“Pada akhirnya – seni kita wajah kita,” katanya.

Wujud keluhan dalam kalangan warga industri hiburan mengenai cukai hiburan sebanyak 25 peratus yang dikenakan kepada penggiat seni termasuk penerbit filem, yang disifatkan terlalu tinggi dan ramai mendesak agar kadar cukai itu dikurangkan atau dipulangkan kembali kepada industri kreatif bagi manfaat mereka.

Perkara tersebut mula mendapat perhatian apabila filem Mat Kilau yang masih ditayangkan di seluruh negara berjaya mencatat kutipan sebanyak RM71 juta setelah 19 hari tayangan sekali gus menjadi filem tempatan mencatat kutipan paling tinggi dalam sejarah negara setakat ini.

– BERNAMA