Had Umur 16 Tahun Media Sosial Lindungi Remaja Daripada Ancaman Siber –...

Had Umur 16 Tahun Media Sosial Lindungi Remaja Daripada Ancaman Siber – Pakar UMS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan had umur minimum 16 tahun bagi pendaftaran akaun media sosial disifatkan sebagai satu langkah wajar dalam melindungi remaja daripada pelbagai ancaman siber yang semakin membimbangkan di Malaysia.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS) Profesor Madya Dr. Haryati Abdul Karim berkata, penetapan had umur tersebut dapat membantu mengurangkan pendedahan pengguna muda terhadap kandungan dan aktiviti dalam talian yang boleh mengancam keselamatan dan perkembangan generasi muda.

“Tanpa kawalan had umur yang bersesuaian, golongan remaja khususnya yang berusia bawah 16 tahun berisiko tinggi terdedah kepada pelbagai kandungan berbahaya termasuk keganasan, pornografi, penipuan dalam talian serta penyebaran ideologi ekstrem seperti rasisme dan islamofobia.

Kajian yang dijalankan UMS-UNICEF Communication for Development (C4D) sebelum ini mendapati remaja di Malaysia terdedah kepada sekurang-kurangnya enam jenis ancaman siber, termasuk kandungan ganas yang boleh mempengaruhi tingkah laku serta risiko sexual grooming melalui interaksi dalam talian.

“Seawal usia 13 tahun, kebanyakan remaja sudah memiliki telefon pintar dan mula mengakses media sosial.

“Tanpa sekatan umur, pendedahan terhadap ancaman ini berlaku lebih awal dan sukar dibendung,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Haryati, penetapan had umur 16 tahun adalah batasan yang selayaknya memandangkan individu berusia 17 tahun ke atas lazimnya mempunyai tahap kematangan yang lebih baik untuk menilai serta menapis kandungan yang diterima.

“Langkah itu selari dengan pendekatan yang diambil beberapa negara maju seperti Australia, yang telah menggubal undang-undang melarang individu berusia bawah 16 tahun membuka akaun media sosial serta mengenakan penalti terhadap pelanggaran peraturan tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan had umur semata-mata bukanlah penyelesaian mutlak dalam menangani isu keselamatan digital, memandangkan masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu diberi perhatian.

“Antaranya termasuk keupayaan pengguna muda untuk memintas sekatan yang ditetapkan melalui penggunaan teknologi seperti Virtual Private Network (VPN).

“Peranan ibu bapa, keluarga dan institusi pendidikan amat penting dalam meningkatkan literasi digital dalam kalangan remaja agar generasi ini lebih berupaya menilai risiko.

“Undang-undang sahaja tidak mencukupi, pendidikan dan bimbingan berterusan perlu diberikan supaya remaja lebih bersedia menghadapi persekitaran digital yang semakin kompleks.

“Keperluan kerjasama yang lebih erat daripada pengendali platform juga perlu bagi memperkukuh sistem keselamatan, mekanisme pengesahan umur serta penapisan kandungan yang lebih berkesan,” ujar Haryati.

Dalam pada itu, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memperkenalkan kerangka tambahan seperti Child Protection Code dan Risk Mitigation Code bagi memperkukuh perlindungan pengguna muda dalam talian.