PAPAR: Ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) diingatkan supaya tidak mengambil sikap bermusuhan dalam politik, sebaliknya terus membina persahabatan dengan semua pihak demi kepentingan rakyat.
Memetik Utusan Borneo, Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, hubungan persahabatan itu tidak seharusnya terbatas dalam kalangan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tetapi turut merangkumi pihak di luar gabungan berkenaan.
Menurutnya, perbezaan pandangan dan persaingan politik tidak sepatutnya memutuskan hubungan kerana matlamat utama setiap pemimpin adalah membela nasib rakyat.
“Secara peribadi, sejak dahulu lagi saya sentiasa konsisten bahawa dalam perjuangan politik, kita tidak boleh bermusuhan.
“Dalam berpolitik, jangan terlalu pandai mencari musuh sehingga lupa mencari sahabat. Hari ini kita bertikam lidah di pentas politik, esok mungkin kita duduk semeja minum kopi.
“Yang berubah ialah tempat duduk, bukan tanggungjawab kita kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan dan pengumuman Ahli Jawatankuasa Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar, di sini.
Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah berkata, politik bersifat dinamik dan persaingan dalam pilihan raya perlu dihadapi secara matang berlandaskan prinsip demokrasi.
Katanya, jika terpaksa bersaing dengan rakan daripada parti atau lambang berbeza, persaingan itu tidak seharusnya bertukar menjadi permusuhan.
“Kita tidak mahu membakar jambatan hanya semata-mata kerana perbezaan politik. Kita boleh berbeza warna bendera, tetapi jangan sampai lupa bahawa langit yang kita pandang tetap langit yang sama.
“Kita boleh berbeza lambang, tetapi jangan sampai lambang itu lebih besar daripada amanah,” katanya.
Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Setiausaha Agung GRS dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap ADUN Limbahau dan Timbalan Ketua Penaja Gagasan Rakyat Bahagian Papar, Datuk Juil Nuatim serta ADUN Pantai Manis merangkap Naib Ketua Penaja bahagian, Datuk Haji Pg Saifudin Pg Tahir.






