PUTATAN: Sebanyak 88 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) disediakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas tahun ini bagi membantu golongan B40 memiliki kediaman tetap.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, pemberian rumah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan senarai penerima yang memenuhi syarat kelayakan.
“Keluarga B40 yang layak akan diberikan Rumah Mesra SMJ secara berperingkat. Tahun ini sahaja, sebanyak 88 unit disediakan di Petagas.
“Kerajaan Negeri memperuntukkan 80 unit Rumah Mesra SMJ setiap tahun kepada keluarga B40 di setiap kawasan DUN. Sekiranya belum menerima tahun ini, permohonan mereka akan dipertimbangkan pada tahun hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Pertandingan Memancing Terbuka Daerah Putatan di Kampung Baru Dopo, baru-baru ini.
Selain menyediakan akses kepada kediaman tetap, Awang Ahmad Sah berkata, kebajikan pendidikan anak-anak daripada keluarga B40 turut menjadi keutamaannya.
Menurutnya, mereka perlu diberikan peluang dan kemudahan teknologi yang mencukupi bagi membantu melanjutkan pengajian hingga ke peringkat tertinggi.
Sehubungan itu, beliau baru-baru ini menyampaikan bantuan komputer riba kepada 18 pelajar Tingkatan Enam di Putatan yang bakal melanjutkan pengajian ke universiti.
“Pendidikan ialah pelaburan paling penting bagi sesebuah keluarga dan juga negara. Ibu bapa perlu memberikan tumpuan khusus serta menggalakkan anak-anak belajar sehingga ke peringkat universiti,” katanya.
Pertandingan memancing yang berlangsung di Sungai Petagas itu disertai seramai 125 peserta.






