KUALA LUMPUR – Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada semua murid akan disalurkan ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan sekolah terlebih dulu sebelum diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.
Memetik sumber Harian Metro, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan BAP dikreditkan ke akaun sekolah seawal 12 Januari 2023 dan meminta pihak berkaitan untuk membuat agihan secepat mungkin selepas menerima peruntukan berkenaan.
Katanya, tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi oleh murid atau ibu bapa sebelum menerima BAP.
“KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus, segala penjelasan lanjut berkaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM,” katanya.
KPM mengeluarkan kenyataan terbabit menerusi satu ciapan di Twitter, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.
Katanya, ia adalah penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain keperluan perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.