Kementerian Wilayah Persekutuan Distruktur Semula Jabatan Wilayah Persekutuan

Kementerian Wilayah Persekutuan Distruktur Semula Jabatan Wilayah Persekutuan

0
SHARE
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali...

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan kini distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Memetik sumber Berita Harian, Jabatan terbabit diterajui oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Perkara terbabit dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, menerusi perkongsian di Facebook selepas menghadiri sesi taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan agensi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

“Sesi taklimat kepada Perdana Menteri disampaikan oleh Datuk Seri Rosida Jaafar, Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan berkaitan struktur terkini pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan…

“Jabatan yang sebelum ini adalah sebuah kementerian, distrukturkan semula pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Mohd Zuki berkata, sebaik selesai taklimat terbabit, beliau bersama Perdana Menteri menghadiri Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, majlis terbabit adalah platform di antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Kedua-dua majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Solehuddin Alyubi; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail,” katanya.