KOTA KINABALU: Keputusan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) untuk memohon menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sebagai petanda jelas bahawa politik Sabah semakin bergerak ke arah penyatuan dan kerjasama dalam kalangan parti-parti tempatan.
Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Azrul Ibrahim berkata, langkah yang diambil UPKO itu merupakan perkembangan positif yang mampu memperkukuh lagi kesatuan politik tempatan demi menjamin masa depan Sabah yang lebih stabil dan kukuh.
Menurutnya, keputusan tersebut juga menunjukkan semakin banyak pihak melihat keperluan untuk parti-parti tempatan bersatu dalam satu kerangka yang lebih matang, tersusun dan berpaksikan kepentingan Sabah.
“Kita mengalu-alukan keputusan UPKO untuk memohon menyertai GRS sebagai parti komponen. Langkah ini merupakan perkembangan positif ke arah memperkukuh lagi kesatuan politik tempatan demi masa depan negeri yang lebih stabil dan kuat.
“Keputusan UPKO juga menunjukkan semakin banyak pihak melihat keperluan untuk parti-parti tempatan bersatu dalam satu kerangka yang lebih kukuh, matang dan berpaksikan kepentingan Sabah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Azrul yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri berkata, GRS telah membuktikan bahawa kestabilan politik merupakan asas penting kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah berjaya mencatat pelbagai kemajuan menerusi pelaksanaan agenda pembangunan, kemasukan pelaburan, penyelesaian isu-isu asas rakyat serta usaha berterusan memperjuangkan hak-hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“GRS telah membuktikan bahawa kestabilan politik adalah asas penting kepada pembangunan negeri. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah berjaya bergerak lebih baik melalui pelbagai agenda pembangunan, pelaburan, penyelesaian isu asas rakyat serta perjuangan hak-hak Sabah di bawah MA63,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa politik Sabah perlu terus dipacu ke arah kerjasama dan penyatuan, bukannya perpecahan yang hanya akan merugikan rakyat serta menjejaskan momentum pembangunan negeri.
“Kita mahu melihat politik Sabah terus bergerak ke arah kerjasama dan penyatuan, bukan perpecahan yang akhirnya merugikan rakyat dan melambatkan pembangunan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Azrul menyeru semua pihak agar mengutamakan kestabilan, perpaduan dan masa depan Sabah mengatasi kepentingan politik sempit demi memastikan negeri ini terus maju dan berdaya saing.
“Masa depan Sabah akan menjadi lebih kuat apabila parti-parti tempatan bersatu suara dan tenaga demi rakyat negeri ini,” katanya.






