Lelaki Indonesia Lemas Dalam Sungai Ketika Tarik Pasir di Kuala Abai

Lelaki Indonesia Lemas Dalam Sungai Ketika Tarik Pasir di Kuala Abai

0
SHARE

KOTA BELUD: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan bot penarik di Kampung Paka-Paka, Kuala Abai, di sini, petang semalam.

Mangsa, dikenali sebagai Vinsensius Sare Tukan, 42, ditemui oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah pada jam 11.20 pagi hari ini selepas hampir 18 jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam semalam.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai sekitar jam 6 petang ketika menjalankan aktiviti menarik pasir menggunakan sebuah bot penarik.

Operasi SAR hari kedua dimulakan pada jam 8 pagi dengan kerjasama pelbagai agensi penyelamat di lokasi terakhir mangsa dipercayai terjatuh.

“Pasukan penyelamat menjalankan pencarian di permukaan air dan di sepanjang persisiran sungai, manakala Unit PPDA melaksanakan operasi selaman di kawasan mangsa dilaporkan hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pencarian melibatkan enam pasukan yang digerakkan ke lokasi, termasuk pemasangan pukat oleh anggota bomba pada jarak kira-kira 500 meter dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hingga ke muara Sungai Kuala Abai bagi membantu usaha mengesan mangsa.

Menurutnya, Unit PPDA memulakan operasi selaman pada jam 10.50 pagi sebelum berjaya menemui mangsa kira-kira 30 minit kemudian.

“Mangsa ditemui pada kedalaman lapan meter di lokasi yang sama beliau dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.

Operasi berkenaan melibatkan tiga anggota BBP Kota Belud dengan bantuan tujuh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), enam anggota Unit PPDA Zon Kudat dan dua anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.