PAPAR, SABAH – Penduduk kampung sekitar daerah ini mendakwa sebuah kandang ternakan ayam yang terletak di seberang sungai berhampiran Loji Rawatan Air Limbahau DI sini punca kepada bekalan air berbau busuk semalam.
Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pukul 5.00 petang kelmarin (Ahad) mengumumkan penutupan loji tersebut “sehingga air mentah kembali normal”.
Kampung-kampung terjejas termasuk Pantai Manis, Kampung Baru Kelatuan, Lubang Batu Mandahan – Penampang Baru, Ulu Kimanis, Kampung Daingin, Jalan Tung Shan, Ambawa, Sabandil, Santing – Pengalat, Kampung Purak Biau, Lumputong dan beberapa lagi kawasan sekitarnya.
Penduduk Kampung Sapat, ‘Azmi Abdul Ghani’ dalam satu coretan yang dieptik daripada Facebook miliknya meluahkan rasa marah terhadap JANS dengan kualiti air yang disamakannya seperti bau bangkai.
Seorang lagi penduduk Kampung Baru Kelatuan yang enggan namanya disiarkan berkata, bau busuk itu melekat pada tubuhnya semasa mandi.
Pengguna Facebook ‘Blackbasshunter Kamaruddin’ pula turut berkata bahawa beliau dan seorang rakan yakin bahawa punca bau tersebut datang dari sebuah kandang sewaktu memancing semalam.
“Saya ingatkan bau bangkai, rupanya bau tu datang dari kandang ayam itu…
“Mohon pihak berwajib ambil tindakan segera kerana kami menggunakan air untuk masak, mandi , basuh pakaian. Kami bayar air dan bukannya percuma,” rintihnya.
Beliau mahukan pihak berwajib memberikan penjelasan dan mengambil tindakan segera kerana perkara itu melibatkan ribuan penduduk daerah Papar.
“Adakah penternakan ini dibenarkan beroperasi berhampiran sungai? Adakah hal ini sudah berlarutan sejak dulu lagi dan tiada tindakan dilakukan oleh JANS serta Majlis Daerah Papar?,” tanya beliau.
Namun dalam satu kemas kini lebih kurang pada lima jam yang lalu, beliau berkata air telah pulih tanpa bau tetapi masih ragu-ragu untuk menggunakannya.
Menurut hasil sesi soal jawab beliau dengan pekerja loji, bau busuk itu mula disedari pihak pekerja loji pada pukul 4 petang kelmarin.
Katanya beliau mempelajari bahawa terdapat DUA (2) Saluran Pengambilan Air (Water Intake) iaitu di Limbahau dan Kabang.

“Hasil rondaan oleh pusat loji, mereka mengatakan bau air sungai semakin kuat selepas Kampung Kabang…
“Saya diberitahu bahawa bekalan air sudah tidak berbau kerana buat masa ini air diambil dari loji Kabang dan bukannya dari air sungai Limbahau kerana ia masih berbau.
“Siasatan sampel air pekerja loji yang diambil dari beberapa kampung mendapati bau paling busuk dapat dihidu di sebelah Kampung Purak,” katanya.
Gambar waktu sebenar menggunakan aplikasi Google Earth menunjukkan apa yang dilihat sebagai sekurang-kurangnya terdapat DUA (2) kandang ternakan pada sungai berhampiran pusat pengambilan air Kabang.
Gambar itu juga turut menunjukkan parit atau anak sungai yang terus mengalir ke Sungai Papar yang diguna sebagai asas kehidupan penghuninya.
Kecekalan Kamaruddin tidak berhenti di situ. Langkah seterusnya adalah menghantar beberapa sampel ke Jabatan Alam Sekitar untuk dianalisis.
“Tindakan lanjut ini supaya kejadian tidak akan berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.
Pihak SabahNews telah cuba beberapa kali menghubungi pengarah JANS, Ir. Edward Lingkapo, namun panggilan ke talian pejabatnya tidak dijawab.
Manakala Pegawai Daerah Papar, Hadzlan Jablee ketika dihubungi wartawan mengesahkan kejadian itu.
“Kami menerima laporan dari JANS masalah terbabit berpunca dari sisa buangan haiwan ternakan yang dilepaskan dari ladang ternakan ayam.”
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab syarikat berkenaan yang dipercayai dilakukan sewaktu hujan lebat petang semalam.
“Esok pihak kami akan mengadakan mesyuarat bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi menyiasat secara lanjut mengenai perkara terbabit…
“Pihak kami juga sudah berbincang dengan pihak JANS dan mereka sudah melakukan untuk proses ‘flushing’ (memaksa keluar air tercemar) di Stesen Air Kinarut bagi memulihkan bau air tersebut.
“Dijangkakan bau air terbabit akan beransur pulih pada petang ini,” katanya.