SANDAKAN: Seorang ibu dan 13 anaknya kini sehelai sepinggang selepas rumah atas air mereka di Kampung Air di Karamunting dekat sini runtuh pada malam Isnin.
Mangsa Maili Lait, seorang suri rumah berkata berada di rumah bersama anak-anaknya ketika kejadian kira-kira jam 8 malam.
Difahamkan Maili sempat membawa anak-anaknya keluar dari rumah apabila terdengar bunyi retakan.
Cabaran hidupnya itu mendapat perhatian ADUN Karamunting, Datuk George Hiew.
Katanya, suami mangsa, Herman Modjahirin bekerja di Kuala Lumpur.
“Nasib baik mereka berjaya menyelamatkan diri dan tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian ini.
“Mereka sekeluarga telah bermalam di rumah saudara berhampiran pada malam kejadian dan sejak itu mereka mencari perlindungan di Balai Raya Kampung.
“Kakitangan Majlis Perbandaran Sandakan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sandakan juga telah melawat keluarga mangsa,” katanya dalam sebuah kenyataan.
George yang berada di Kota Kinabalu ketika kejadian berkata beliau telah menghantar Pasukan Petugas ADUN Karamunting untuk melawat keluarga itu keesokan harinya.
“Saya telah menyampaikan bantuan makanan kepada keluarga ini kerana mereka tidak mempunyai apa-apa selepas bencana itu.
“Selepas tiba di Sandakan, saya turut melawat mereka untuk memberi sedikit sumbangan. Mangsa adalah keluarga susah.
“Saya akan mencari jalan untuk membantu keluarga mangsa dari semua sudut agar mereka terus tabah menghadapi kejadian ini,” katanya.