TMJ Akan Berjumpa 779 Guru Di Johor Yang Enggan Menerima Suntikan Vaksin...

TMJ Akan Berjumpa 779 Guru Di Johor Yang Enggan Menerima Suntikan Vaksin COVID-19

0
SHARE

ISKANDAR PUTERI – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim terpaksa campur tangan bagi menyelesaikan isu yang membabitkan seramai 779 guru di negeri itu yang enggan menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Johor dan para guru di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan bersama-sama dengan Mufti Johor dan Setiausaha Kerajaan Johor pada Jumaat ini demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Insya’Allah,” titahnya dalam sebuah kemas kini hantaran pada Facebook miliknya petang tadi.

Sumber Foto: Tangkap layar pada Facebook milik Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (HRH Crown Prince of Johor)

Ini susulan selepas Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor merancang untuk mengambil pelan tindakan mesra dalam menangani pekara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, dilaporkan akan memanggil kesemua 779 guru berkenaan dalam masa terdekat untuk diberikan kaunseling selain penerangan mengenai tanggungjawab pendidik bagi memastikan sekolah tidak menjadi lokasi penularan wabak.

“Kerajaan Johor akan memanggil 779 guru yang menolak vaksin itu secara individu untuk diberi penerangan dan kaunseling supaya mereka faham kepentingannya (divaksin), apatah lagi sesi persekolahan dijangka dibuka Oktober nanti,” katanya.

Jelasnya dalam sumber yang dipetik portal Berita Harian, sehingga 19 Ogos lalu seramai 45,448 atau 96.26 peratus (96.26%) guru di Johor sudah menerima dos pertama vaksin COVID-19 manakala seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata JPN Johor menyokong penuh kerjasama antara kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) bagi memastikan program vaksinasi mencapai 100 peratus sebelum sekolah dibuka pada Oktober nanti.

“Kerjasama ini membabitkan warga sekolah serta ibu bapa dan penjaga ketika pembukaan sesi persekolahan nanti.

“Pemakluman awal akan dibuat sekiranya terdapat keperluan perubahan tarikh hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Merujuk kenyataan media Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bertarikh 15 Ogos 2021, sesi pembukaan sekolah secara berperingkat akan bermula pada 3 Oktober.

Gambar sekadar hiasan…

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) turut merayu guru-guru terbabit supaya mempertimbangkan keputusan mereka.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata guru-guru itu diminta mendapatkan khidmat nasihat doktor dan pakar kesihatan serta tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat mengenai vaksin di media sosial.

“Kita merayu bukan saja kepada guru tapi semua rakyat yang menolak vaksin supaya mempertimbangkan isu ini semula tapi menerima atau tolak vaksin adalah hak semua individu,” katanya.