Syarikat Swasta Perlu Kongsi Keuntungan Salur Kepada Golongan Asnaf – Masidi

Syarikat Swasta Perlu Kongsi Keuntungan Salur Kepada Golongan Asnaf – Masidi

0
SHARE
Abidin menyampaikan sumbangan dalam program tersebut...

RANAU, SABAH – Penglibatan Syarikat Kim Teck Cheong Consolidated Berhad dalam ‘Program Jelajah Amal Berbuka Puasa’ dilihat mampu memberi peransang kepada syarikat swasta lain agar berkongsi keuntungan mereka sepanjang bulan Ramadan ini.

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ini secara tidak langsung akan dapat membantu mereka yang kurang bernasib baik agar dapat bersama-sama menikmati sumbangan yang disalurkan kepada mereka.

Katanya, sumbangan ini bukan sahaja terhad di Bulan Ramadan malah dimusim perayaan lain sangat diperlukan memandangkan Sabah merupakan negeri yang berbilang kaum dan agama.

“Di Sabah memang terkenal sebagai sebuah negeri yang bersatu padu, disamping saling bantu membantu di antara satu dengan yang lain…

“Untuk makluman, Kim Teck Cheong merupakan syarkat yang sudah disenaraikan dalam Bursa Saham Malaysia, merupakan syarikat tempatan yang membesar di Sabah yang patut kita banggakan,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Dewan Kimolohing Ranau, di sini semalam.

Masidi menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf…

Masidi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, Syarikat KTC ini sudah banyak membantu semenjak beberapa tahun yang lalu bagi memastikan rakyat Sabah memperoleh manfaat daripada sumbangan yang disalurkan.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Kim Teck Cheong kerana sudi bekerjasama dengan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) untuk mengadakan iftar di 25 kawasan sepanjang bulan ramadan ini…

“Kita berharap agar bulan Ramadan ini bukannya hanya dengan beribadah tapi juga menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk menyumbang kepada golongan asnaf di setiap kawasan,” jelas Masidi.

Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Mandikir, Pengarah UPPM Datuk Awang Kadin Tang dan Pengarah Urusan KTC, Datuk Dexter Lau.