PM Umum Kurangkan Cabutan Khas Nombor Ramalan Judi

PM Umum Kurangkan Cabutan Khas Nombor Ramalan Judi

0
SHARE
Sidang media Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di bangunan Perdana Putra hari ini (5 Dis 2022)...

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pihaknya membatalkan keputusan kerajaan sebelum ini yang meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan daripada lapan kepada 22 kali setahun.

Menurutnya, cabutan khas berkenaan akan kembali kepada lapan kali bermula pada 1 Januari tahun hadapan.

“Mulai 1 Januari 2023, cabutan khas perjudian yang sekarang diterima Perikatan Nasional (PN) sebagai 22 kali akan turun kepada lapan kali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di bangunan Perdana Putra, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Dalam pada itu, Anwar turut mendakwa apabila beliau merujuk kepada isu perjudian, beliau yakin ia sebahagiannya digunakan untuk membiayai pilihan raya oleh pihak tertentu.

Walau bagaimanapun, beliau turut menjelaskan akan menyemak perkara terbabit terlebih dahulu.

“Sama ada anda menggelar parti anda sebagai parti Melayu atau parti Islam, dana itu datangnya daripada syarikat perjudian,” katanya.