Jawatan Bukan Matlamat Peribadi, Sebaliknya Amanah Untuk Berkhidmat Kepada Rakyat – Hajiji

Jawatan Bukan Matlamat Peribadi, Sebaliknya Amanah Untuk Berkhidmat Kepada Rakyat – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua pemimpin dan parti komponen bahawa jawatan bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya amanah yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, semua parti komponen perlu mengutamakan toleransi, disiplin, kesetiaan dan persefahaman, khususnya dalam soal pembahagian kerusi serta pemilihan calon.

“Jawatan bukan matlamat peribadi, sebaliknya amanah untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kita mesti memastikan kestabilan politik diterjemahkan kepada pembangunan, peluang pekerjaan, ekonomi yang kukuh dan kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) berkata, Konvensyen GRS 2026 di Kudat menjadi platform memperkukuh semangat kekeluargaan, kesetiaan dan kerjasama antara parti komponen bagi memastikan kestabilan politik negeri terus terpelihara.

Tegas Ketua Menteri itu, perjuangan GRS akan terus menumpukan tuntutan hak Sabah melalui rundingan berasaskan fakta dan undang-undang, selain memperluas usaha dalam pendidikan, kebajikan, bantuan perumahan serta pembangunan modal insan.

Beliau turut memberi jaminan bahawa pengorbanan ahli dan jentera akar umbi akan terus dihargai, manakala kepimpinan pelapis dibentuk melalui gabungan pengalaman pemimpin senior dan idea baharu generasi muda.

Hajiji menegaskan empat prinsip GRS iaitu Sabah First, Sabah United, Sabah Forward dan Sabah Prosper mesti diterjemahkan melalui tindakan serta hasil yang nyata.

“Kepentingan Sabah mesti sentiasa mengatasi kepentingan GRS, demi masa depan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.