KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah merekodkan tahap pematuhan tinggi dalam Ops Pamer 2026 dengan 31 daripada 33 premis diperiksa didapati mematuhi sepenuhnya keperluan pempameran Perakuan Bomba.
Pengarahnya, PKPjB Mohd Pisar Aziz berkata operasi serentak pada 10 Jun melibatkan pasar raya dan pusat beli-belah di seluruh negeri bagi meningkatkan pematuhan serta kesedaran keselamatan kebakaran.
“Ops ini bukan untuk mencari kesalahan semata-mata, tetapi bagi membudayakan pematuhan dan memastikan Perakuan Bomba dipamerkan di tempat mudah dilihat,” katanya.
Menurutnya, 94 peratus premis mematuhi peraturan manakala dua premis gagal mempamerkan sijil di lokasi sesuai, menyebabkan dua kompaun dikeluarkan.
Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak mempamerkan sijil, mempamerkan di lokasi tidak jelas serta menyimpan sijil di pejabat tanpa pengetahuan umum.
Beliau menegaskan pematuhan asas seperti pempameran Perakuan Bomba mencerminkan komitmen premis terhadap keselamatan kebakaran dan merupakan tanggungjawab bersama.
JBPM Sabah akan terus mempergiat pemeriksaan, penguatkuasaan serta program kesedaran, dengan tindakan lebih tegas boleh dikenakan di bawah Akta Perkhidmatan Bomba 1988 terhadap premis yang ingkar.






