KOTA KINABALU: Pencipta kandungan perlu membina kepercayaan pengikut, sentiasa meningkatkan kemahiran serta mengekalkan identiti dan keunikan tempatan jika mahu bertahan lama dalam industri digital yang semakin kompetitif.
Pesanan itu dikongsikan oleh pencipta kandungan dan usahawan terkenal, Khairul Aming; pencipta kandungan dan penghibur, Anas Zahrin; serta pencipta kandungan dan pembina komuniti, DearCaryyn pada sesi meet and greet bersama peminat dan komuniti pencipta kandungan tempatan sempena Program TikTok Shop Creator ICON Season 2 di Imago Shopping Mall, di sini, hari ini.

Khairul Aming berkata, kerjaya sebagai pencipta kandungan mempunyai masa depan yang cerah sekiranya ia diuruskan secara profesional dan tidak hanya bergantung kepada populariti semata-mata.
Menurut beliau, ketika mula dikenali pada tahun 2018, ramai beranggapan kerjaya sebagai pencipta kandungan atau influencer hanyalah bersifat sementara dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas.
“Ramai melihat kerjaya ini sebagai sesuatu yang tidak mempunyai masa depan. Namun saya sentiasa menganggapnya sebagai kerjaya profesional. Saya belajar setiap hari, membaca, membuat kajian, memperbaiki kemahiran penceritaan, penyuntingan video, pengurusan hubungan awam dan perniagaan.
“Kalau mahu bertahan lama dalam industri ini, kepercayaan adalah perkara paling penting. Jangan ambil kesempatan terhadap pengikut yang menyokong kita. Jika melakukan kesilapan, akui dan perbaiki,” katanya.
Beliau berkata pencipta kandungan juga perlu mempelbagaikan platform serta sumber pendapatan dan tidak hanya bergantung kepada penghasilan kandungan semata-mata.
Khairul berkata kejayaan mengembangkan jenama makanan seperti Sambal Nyet, Dendeng Nyet dan Rendang Nyet membuktikan bahawa pencipta kandungan mampu berkembang menjadi usahawan berjaya apabila berani meneroka peluang baharu.

Sementara itu, Anas Zahrin menggalakkan pencipta kandungan Sabah untuk terus menonjolkan identiti, budaya dan keunikan negeri ini sebagai kekuatan utama dalam menghasilkan kandungan.
Menurutnya, Sabah mempunyai pelbagai keistimewaan termasuk makanan tradisional, kepelbagaian etnik, budaya serta cara pertuturan yang mampu menarik perhatian khalayak lebih luas.
“Jangan malu menjadi diri sendiri. Kekalkan identiti dan keunikan yang ada kerana itulah yang akan membezakan kita daripada orang lain.
“Apabila orang mengenali budaya, makanan dan cara hidup kita, mereka akan lebih menghargai dan mencintainya,” katanya.
Beliau turut menjadikan pencipta kandungan tempatan, SakinahvsOndu, sebagai contoh individu yang berjaya membina jenama peribadi tersendiri menerusi kreativiti dan konsistensi menghasilkan kandungan yang dekat dengan budaya Sabah.

Dalam pada itu, DearCarynn menekankan kepentingan membina komuniti yang positif serta saling menyokong dalam kalangan pencipta kandungan bagi memastikan ekosistem digital tempatan terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai individu.
Program TikTok Shop Creator ICON Season 2 telah menghimpunkan peminat dan pencipta kandungan tempatan untuk berkongsi pengalaman, ilmu serta inspirasi dalam memperkasakan industri ekonomi digital dan keusahawanan kandungan di Sabah.






