Kementerian Luar Sahkan 85 Rakyat Malaysia Di Syria Selamat Dari Bencana Gempa...

Kementerian Luar Sahkan 85 Rakyat Malaysia Di Syria Selamat Dari Bencana Gempa Bumi

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengesahkan seramai 85 rakyat Malaysia yang berada di Syria selamat dari bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria, baru-baru ini.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata perkara itu disahkan pihak berkuasa Syria kepada Malaysia.

“Berdasarkan maklum balas dari Syria, semua 85 rakyat Malaysia dilaporkan selamat dan tidak berada di dalam kawasan bencana.

“Pada masa sama, misi bantuan ke Syria juga sedang digerakkan. Saya doakan semoga pasukan bantuan diberi kekuatan dan iltizam untuk meneruskan misi bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam hantaran yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Facebook.

Disamping itu, menurutnya perkembangan itu dikongsikan menerusi Mesyuarat Koordinasi Bantuan Kemanusiaan Gempa Bumi di Turkiye dan Syria yang diadakan secara berkala bagi mengemaskini keadaan semasa misi bantuan didua negara terbabit.

“Setakat ini, hanya empat rakyat Malaysia yang masih berada di kawasan terjejas iaitu dua daripada mereka adalah doktor yang berkhidmat dengan hospital di kawasan itu manakala dua lagi berkahwin dengan warga tempatan.

“Berdasarkan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), jumlah korban terkini mencecah lebih 29,000 dengan angka korban di Turkiye seramai 24,617 orang manakala di Syria seramai 4,500 orang,” katanya.

Disamping itu, beliau turut menjelaskan mesyuarat koordinasi yang dipengerusikan Ketua Protokol, Kementerian Luar itu turut dihadiri Duta Besar Republik Turkiye ke Malaysia, wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perdana Menteri.