Persatuan LOTUD Mohon Pertimbangan Kerajaan Negeri Naikkan Kadar Gaji, Elaun Ketua Kampung

Persatuan LOTUD Mohon Pertimbangan Kerajaan Negeri Naikkan Kadar Gaji, Elaun Ketua Kampung

0
SHARE
Fredie
Presiden Persatuan Suang Lotud Sabah (LOTUD), Datuk Fredie Sua ( Sumber Foto: Ihsan Persatuan LOTUD Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Persatuan Suang Lotud Sabah (LOTUD) memohon pertimbangan daripada kerajaan negeri untuk menaikkan gaji pemimpin tempatan khususnya ketua kampung daripada RM700 kepada RM1,200.

Presiden LOTUD, Datuk Fredie Sua berkata pihaknya menerima beberapa permintaan untuk membantu golongan terbabit agar elaun atau gaji bulanan mereka dikemaskini seperti yang diluluskan kerajaan negeri Johor pada sidang tahun lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata turut dilaporkan ia akan selaras dengan gaji minima yang telah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Kita dimaklumkan bahawa gaji atau elaun RM700 untuk ketua kampung ini sudah agak lama tidak dikemaskini walaupun kos perkhidmatan telah meningkat mengikut keadaan ekonomi.

“Sebaliknya, gaji penjawat awam, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di seluruh negara telah dinaikkan mengikut kadar jadual gaji masing masing.

“Dengan itu kami di PSLS LOTUD menyokong agar gaji atau elaun ketua kampung diberi pertimbangan untuk dinaikkan selaras dengan kadar gaji yang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

“Ia sesuai dengan kerja khidmat yang perlu dilaksanakan sebagai seorang ketua kampung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut berkata pihaknya percaya atas budi bicara Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor prihatin terhadap kos sara hidup yang telah meningkat dan akan memberikan pertimbangan yang sewajarnya untuk menaikkan gaji atau elaun ketua kampung.