PUTATAN: Isu membabitkan kos sara hidup dan keperluan asas rakyat Sabah perlu diberi keutamaan serta perhatian segera kerajaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hishyamuddin Ghazali.
Beliau berkata, perkara yang menyentuh secara langsung kehidupan rakyat termasuk kemampuan untuk makan, menyara keluarga serta mendapatkan akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang baik perlu menjadi keutamaan.
“Saya berpendapat yang saya kena selesaikan segera, seperti mana saranan rakan daripada Bernama tadi, isu ‘perut rakyat’ ini kita kena utamakan segera.
“Kesusahan rakyat di bawah untuk hidup, makan, menyara keluarga, sekolah dan dapat servis kesihatan yang baik, pendidikan yang cukup adalah amat penting.
“Jadi yang itu saya akan lebih utamakan. Maksudnya isu itu terus kepada rakyat yang memerlukan dan kerajaan perlu peka dan alert serta menyelesaikan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Ramah Mesra bersama Media di Sabah, di sini.
Mohd Hishyamuddin berkata, antara lima perkara yang dibangkitkan dalam pertemuan bersama pengamal media Sabah ialah isu kabotaj yang dikaitkan dengan kenaikan harga barangan di negeri ini, bekalan air, infrastruktur jalan raya, kuota diesel serta harga tiket penerbangan.
Katanya, isu-isu berkenaan akan diperincikan sebelum disalurkan terus kepada kepimpinan dan pihak berkaitan untuk perhatian serta tindakan.
“Hari ini kita berbincang antara isu-isu yang rakyat tempatan dan rakan-rakan media sebut tadi adalah isu kabotaj, isu berkaitan air, infrastruktur jalan raya, diesel atau kuota diesel dan berkaitan tiket kapal terbang.
“Antara lima isu itu saya akan dapat di sini. Balik nanti baru saya buat, sekarang ini saya sedang write-up dan nanti saya akan terus hantar kepada pimpinan yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata sesi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha JKOM mendapatkan maklumat secara langsung menerusi pendekatan Focus Group Discussion (FGD), sekali gus membantu menangani jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat.
Menurutnya, Sabah menjadi lokasi pertama program bersama media yang dirancang untuk diperluaskan ke seluruh negara.
“Tujuan dia tidak lain dan tidak bukan, saya mesti atasi krisis komunikasi antara kerajaan dan rakyat. Jadi kaedah yang kita buat ini adalah kita panggil Focus Group Discussion (FGD) untuk kita dapat maklumat secara langsung daripada rakan media.
“Sebelum ini kami buat dengan rakyat pelbagai kaum, termasuk golongan miskin dan pelbagai komuniti. Kaedah macam ini untuk kita dapatkan pulse, data primer daripada rakyat di bawah untuk kita bawa kepada kerajaan,” katanya.
Mohd Hishyamuddin berkata, maklumat berkenaan turut berperanan sebagai mekanisme semak dan imbang bagi mengenal pasti isu kritikal yang memerlukan penyelesaian kerajaan.






