PUTRAJAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud mempersoalkan kritikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin terhadap Belanjawan 2027 yang menggambarkan Kerajaan MADANI seolah-olah mengabaikan kepentingan generasi masa depan.
Beliau berkata, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menunjukkan komitmen terhadap pengurusan kewangan berhemah menerusi pengurangan defisit fiskal dan kawalan pinjaman baharu negara.
“Saya ingin bertanya, jika benar YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak memikirkan masa depan generasi akan datang, mengapa beliau begitu konsisten melaksanakan disiplin fiskal dan mengawal pinjaman baharu negara?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mustapha berkata, defisit fiskal negara menurun daripada 6.4 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025, dan diunjurkan terus berkurang kepada 3.3 peratus menjelang 2027.
Katanya, pinjaman baharu Kerajaan Persekutuan turut menurun daripada sekitar RM100 bilion setahun pada 2021 dan 2022 kepada RM75.6 bilion pada 2025.
Dalam masa sama, Belanjawan 2027 memperuntukkan RM34.9 bilion kepada Sabah dan Sarawak, masing-masing RM18.7 bilion dan RM16.2 bilion, iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah kedua-dua negeri serta meningkat RM2.2 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Inilah bukti bahawa disiplin fiskal tidak menghalang kerajaan daripada terus melaksanakan agenda pembangunan negara,” katanya.
Menurutnya, peruntukan berkenaan membolehkan pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi di Sabah serta Sarawak terus diberi perhatian meskipun negara berdepan ketidaktentuan ekonomi global.
Sehubungan itu, Mustapha menggesa Hamzah mengemukakan cadangan belanjawan alternatif yang jelas dan terperinci, termasuk kaedah mengurangkan defisit fiskal sambil memastikan pembangunan negara, khususnya Sabah dan Sarawak terus dilaksanakan.






