Sabah Tea Resort Perkukuh Pelancongan Ranau, Bangunkan Hab Pelancongan Bersepadu Menjelang 2027

Sabah Tea Resort Perkukuh Pelancongan Ranau, Bangunkan Hab Pelancongan Bersepadu Menjelang 2027

0
SHARE

RANAU: Sabah Tea Resort mempergiat usaha memperkukuh industri pelancongan berasaskan pengalaman di Ranau menerusi pembangunan kemudahan baharu dan kepelbagaian produk pelancongan bagi menarik lebih ramai pengunjung serta merancakkan ekonomi setempat.

Pengurus Besar Sabah Tea Resort Sdn Bhd, Martin Kong berkata, antara projek utama yang dirancang ialah pembinaan Sabah Tea Gallery & Shops yang dijangka siap pada suku terakhir 2027.

Beliau berkata, pembangunan itu bakal merangkumi galeri teh, bilik serbaguna, kedai produk tempatan, butik dan kedai buku bertemakan Borneo serta ruang istirahat pengunjung.

Menurutnya, inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha menjadikan Sabah Tea Resort sebagai pusat pelancongan sehenti di kawasan Kundasang, selain memperkukuh daya tarikan pelancongan di Ranau.

Dalam perkembangan sama, Martin berkata, pihaknya turut memperkenalkan pakej perkahwinan berkonsepkan taman menerusi kemudahan Garden Bungalow yang dilengkapi enam bilik tidur dan kawasan taman seluas 10,000 kaki persegi.

“Dengan nilai industri perkahwinan di Malaysia dianggarkan sekitar RM7 bilion setahun, serta peningkatan jumlah perkahwinan campur di Malaysia dan seluruh dunia, pasaran perkahwinan destinasi merupakan satu pendekatan pelancongan yang kami berminat untuk terokai.

“Permintaan terhadap perkahwinan destinasi sememangnya sudah wujud di Malaysia dan Sabah Tea Resort berharap dapat menjadi antara pilihan utama dalam pasaran ini,” katanya dalam kenyataan media.

Selain itu, Sabah Tea Resort turut memperkenalkan siri produk teh My Sabahtea dengan empat pilihan perisa, iaitu Classic, Hibiscus, Pandan dan Peach, sebagai produk cenderamata yang dipasarkan kepada pengunjung.

Martin berkata, kerjasama dengan Kinabalu UNESCO Global Geopark juga menjadi antara pencapaian penting syarikat pada tahun ini dalam memperkukuh promosi pelancongan berteraskan alam semula jadi dan warisan tempatan.

“Sebagai rakan kerjasama dalam pengurusan dan promosi Kinabalu UNESCO Global Geopark, selain mewujudkan ratusan peluang pekerjaan dalam industri perladangan dan pelancongan, Sabah Tea Resort sentiasa menekankan usaha pemeliharaan budaya serta kepelbagaian etnik masyarakat Sabah,” katanya.

Sabah Tea yang ditubuhkan pada 1984 dan berkembang ke sektor pelancongan pada 2001 kini mengendalikan ladang teh serta pusat peranginan di Kampung Nalapak, Ranau, dengan menawarkan pengalaman pelancongan berasaskan alam semula jadi, budaya dan makanan tempatan.