PUTRAJAYA: Nabi Muhammad SAW merupakan ikon penyatuan ummah serta ikutan terbaik dalam segenap aspek kehidupan semua manusia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata kelahiran Rasulullah SAW membawa rahmat kepada sekalian makhluk di seluruh alam, dan Baginda adalah utusan terakhir dalam penyebaran syiar Islam.
“Rasulullah SAW adalah ikutan terbaik kepada semua umat manusia dari segenap aspek kehidupan…
“Baginda juga adalah ikon penyatuan ummah. Hal ini boleh dilihat melalui sirah Baginda di bumi Madinah yang berjaya menyatukan Aus dan Khazraj melalui Piagam Madinah,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Facebook, hari ini.
Sementara itu, Idris turut berkata tema ‘Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran’ sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, amat bertepatan agar masyarakat terus menjaga keharmonian dan keamanan dalam negara ini.
Menurutnya, keseluruhan masyarakat adalah sebuah ‘keluarga’ yang tinggal di bawah ‘satu rumah’ dan saling bergantung.