PENAMPANG: Semangat saling menghormati dan persahabatan yang terjalin sepanjang Sukan Persahabatan BIMP-EAGA Ke-12 Sabah 2026 diharap terus berkekalan melangkaui arena pertandingan, sekali gus memperkukuh hubungan masyarakat serantau.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, temasya itu menyaksikan atlet dari Brunei Darussalam, Filipina dan Malaysia mempamerkan semangat kesukanan, persaingan sihat serta komitmen tinggi.
“Kita mungkin bersaing mewakili pasukan yang berbeza, namun kita berkongsi rasa hormat terhadap sukan dan antara satu sama lain.
“Semoga rasa hormat itu berterusan melangkaui arena pertandingan dan memperkukuh hubungan antara masyarakat kita,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan rasmi temasya itu di Dewan KDCA, di sini, hari ini.
Nizam turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet dan berharap pengalaman sepanjang temasya berkenaan menjadi dorongan untuk mereka terus meningkatkan prestasi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai teknikal, hakim pertandingan, jurulatih, sukarelawan serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran temasya itu.
Sementara itu, berdasarkan carta pungutan pingat bertarikh 26 November, kontinjen Sabah (A) mengungguli kedudukan dengan 40 emas, 27 perak dan 17 gangsa, diikuti Sarawak dan Davao City, Filipina.






