KEADILAN Sabah Tolak Gesaan Jeffrey, Rakyat Berhak Tentukan Pilinan Politik Sendiri –...

KEADILAN Sabah Tolak Gesaan Jeffrey, Rakyat Berhak Tentukan Pilinan Politik Sendiri – Peto

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti KEADILAN Sabah menolak gesaan Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan supaya parti itu tidak bertanding dalam pilihan raya di Sabah, sebaliknya menegaskan hak rakyat negeri ini untuk menentukan pilihan politik mereka sendiri.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah, Datuk Peto Galim berkata, keputusan KEADILAN untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dibuat berdasarkan pertimbangan politik di negeri berkenaan.

“Jika beliau menjunjung autonomi politik Sabah, beliau juga harus menghormati hak rakyat Sabah untuk menentukan sendiri siapa yang layak mewakili mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Peto berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Jeffrey pada Rabu yang mengalu-alukan keputusan KEADILAN untuk tidak bertanding di Sarawak, selain menggesa parti itu mengambil pendekatan sama di Sabah pada pilihan raya umum dan negeri akan datang.

Jeffrey berpandangan langkah itu menghormati autonomi politik kedua-dua wilayah Borneo serta mendukung semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau turut berpandangan penyertaan parti nasional dalam perebutan kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak akan terus melemahkan usaha kedua-dua wilayah mendapatkan satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Peto berkata, masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai penyertaan KEADILAN Sabah dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana tarikh pilihan raya itu belum dimuktamadkan.

Katanya, KEADILAN Sabah ditubuhkan serentak dengan penubuhan parti itu di peringkat nasional, dengan Sabah terlibat sejak awal pembentukannya.

Peto turut menyifatkan kerjasama antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai faktor yang memperkukuh kestabilan politik negeri.

“Muafakat ini turut menyumbang kepada peningkatan bayaran interim bagi pemberian khas 40 peratus Sabah kepada RM1.5 bilion serta kemajuan terbaik dalam penyelesaian perkara berkaitan MA63 sepanjang sedekad lalu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kedudukan ibu pejabat sesebuah parti bukan satu-satunya jaminan kepada peningkatan pembangunan infrastruktur dan ekonomi rakyat Sabah.

“Apa yang lebih utama adalah komitmen dan kemampuan menyampaikan perkhidmatan berkesan kepada rakyat,” katanya.