45 Terima Tuisyen Percuma, Inisiatif Kuil Bantu Pelajar B40

45 Terima Tuisyen Percuma, Inisiatif Kuil Bantu Pelajar B40

0
SHARE

SUBANG: Seramai 45 pelajar India Tingkatan 4 dan 5 kini menerima manfaat tuisyen percuma hasil inisiatif pendidikan yang memfokuskan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Subang Estate, Murthi berkata program yang telah memasuki tahun keempat ini bermula sebagai kelas tuisyen percuma dan berkembang menjadi pusat pembelajaran komuniti melibatkan pelajar India dari kawasan kampung sekitar.

“Kami mulakan tuisyen percuma ini supaya murid daripada keluarga susah dapat belajar dengan lebih fokus dan tidak tercicir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dewan serbaguna yang siap dibina di sini hari ini.

Hadir sama, pemimpin masyarakat Datuk P.Gunaseelan dan penaja, Ganesan.

Murthi berkata, tuisyen percuma merangkumi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah dan Matematik itu dijalankan setiap Sabtu dan Ahad dari jam 9 pagi hingga 1 petang dalam persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif.

“Kami mahu kuil ini menjadi pusat ibadat dan juga pusat pendidikan yang memberi harapan serta masa depan lebih baik kepada anak-anak komuniti,” ujarnya.

Turut diserikan dengan sesi penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM kepada pelajar cemerlang iaitu Shavvetha Arun dan Sarvineswary Murulie yang masing-masing memperoleh 5A, serta Vetrivel Muthaliyar yang mencapai keputusan 3A.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan kuil dan penaja dalam memperkasa pendidikan serta memberi peluang pembelajaran berkualiti kepada pelajar komuniti setempat.

Sementara itu, Cikgu Arvin ketika ditemui berkata program kelas bimbingan akademik ini menunjukkan peningkatan ketara dengan jumlah pelajar bertambah daripada 15 orang pada tahun 2023 kepada 45 orang pada tahun ini, selari dengan pencapaian akademik yang semakin meningkat setiap tahun.

Ujarnya, sokongan padu daripada pihak kuil membolehkan guru melaksanakan pengajaran secara berkesan dalam persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Keputusan pelajar sentiasa meningkat setiap tahun dan ini membuktikan keberkesanan teknik pengajaran yang digunakan,” katanya.