Sumbangan Persekolahan Ringankan Beban Pelajar di Kota Belud

Sumbangan Persekolahan Ringankan Beban Pelajar di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Program Penyerahan Sumbangan Persekolahan dilihat sebagai usaha membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan persekolahan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud, ianya mencerminkan komitmen berterusan pihak kementerian dalam memastikan kebajikan rakyat.

Jelasnya, bantuan tersebut khususnya kepada golongan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan yang sentiasa diberi perhatian.

“Kerajaan MADANI sentiasa prihatin terhadap dasar pendidikan negara dan komited memperkasakan sektor pendidikan melalui pelbagai inisiatif.

“Kerajaan juga terus mendukung golongan B40 menerusi pelaksanaan bantuan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Milus Alu @ Abd Wahad, semasa Program Penyerahan Sumbangan Sekolah, di Sekolah Kebangsaan (SK) Timbang, di sini pada Sabtu.

Menurutnya, sumbangan yang disampaikan merangkumi beg sekolah, alat tulis serta bantuan tunai kepada para pelajar yang layak.

“Bantuan ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam persekolahan anak-anak dan bersamaan sambutan hari raya,” ujarnya.

Dalam pada itu, mustapha berkata, pendekatan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Tambahnya lagi, program ini mencapai objektifnya dalam membantu golongan yang memerlukan, di samping memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan demi kesejahteraan masyarakat.