KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menaikkan elaun Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) daripada RM400 kepada RM800 sebulan berikutan peningkatan beban tugas yang dipikul golongan itu.
Madius berkata, semakan semula kadar elaun berkenaan wajar dipertimbangkan kerana Setiausaha JKKK kini memegang tanggungjawab pentadbiran yang semakin besar dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan di peringkat akar umbi berjalan lancar.
“Setiausaha JKKK kini memikul tanggungjawab pentadbiran yang semakin besar, termasuk mengurus data rakyat, penyelarasan program kerajaan, penyediaan laporan, mesyuarat serta pelbagai urusan pentadbiran kampung,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini pada Isnin.
Beliau berkata, elaun RM400 sebulan yang diterima ketika ini tidak lagi setimpal dengan skop tugas dan tanggungjawab yang semakin bertambah.
Madius turut mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri yang sebelum ini menaikkan elaun Pengerusi JKKK, namun berpandangan pengiktirafan sama wajar diberikan kepada Setiausaha JKKK yang disifatkannya sebagai tulang belakang pentadbiran kampung.
“Pengiktirafan yang sama wajar turut diberikan kepada Setiausaha JKKK selaku tulang belakang pentadbiran kampung,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan elaun Setiausaha JKKK dinaikkan kepada RM800 sebulan bagi memastikan mereka terus bersemangat dan mampu melaksanakan tanggungjawab dengan lebih cekap serta berdedikasi.
“Pengiktirafan ini penting bagi memastikan mereka terus dapat menjalankan tugas dengan cekap dan berdedikasi,” katanya.






