BICAM Lancar Inisiatif Mediasi Pro Bono, Perluas Akses Penyelesaian Pertikaian

BICAM Lancar Inisiatif Mediasi Pro Bono, Perluas Akses Penyelesaian Pertikaian

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pusat Timbang Tara dan Mediasi Antarabangsa Borneo (BICAM) melancarkan Inisiatif Mediasi Pro Bono bagi memperluaskan akses individu dan perusahaan kecil mendapatkan perkhidmatan penyelesaian pertikaian secara profesional tanpa dibatasi faktor kewangan.

Inisiatif itu dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun sempena BICAM Global ADR Horizons 2026, di sini, hari ini.

Masidi berkata, akses kepada keadilan tidak seharusnya bergantung semata-mata kepada kemampuan kewangan, terutama apabila kos, tempoh masa dan tekanan akibat pertikaian boleh menjejaskan mata pencarian individu serta operasi perniagaan.

Inisiatif Mediasi Pro Bono ini membawa perkhidmatan mediasi profesional lebih dekat kepada golongan yang mungkin tidak mempunyai akses kepadanya, selain menyediakan platform yang berwibawa bagi menyelesaikan pertikaian secara baik, cekap dan bermaruah,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif yang dibangunkan dengan kerjasama pihak mahkamah serta sokongan komuniti perundangan dan mediasi itu akan melengkapi proses kehakiman dengan menggalakkan penyelesaian lebih awal, mengurangkan kos yang tidak perlu serta membantu pihak-pihak menyelesaikan pertikaian sebelum ia menjadi lebih rumit.

Menurutnya, mediasi merupakan pendekatan yang praktikal, berperikemanusiaan dan berpandangan jauh kerana memberi ruang kepada semua pihak untuk didengar, memelihara hubungan serta membolehkan penyelesaian dicapai berdasarkan hak undang-undang, realiti komersial, nilai masyarakat dan pertimbangan yang munasabah.

Masidi turut memuji mediator serta pengamal undang-undang yang menyumbangkan masa dan kepakaran mereka kepada program berkenaan, sambil menyifatkan khidmat pro bono sebagai manifestasi penting tanggungjawab profesional dan komitmen terhadap kepentingan awam.

Beliau berkata, perkembangan BICAM bukan sahaja penting kepada profesion perundangan, malah mampu memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi pelaburan kerana institusi penyelesaian pertikaian yang kukuh dan bebas dapat meningkatkan keyakinan pelabur, memberikan kepastian komersial serta menyumbang kepada daya saing ekonomi negeri dalam jangka panjang.

“Penyelesaian pertikaian yang berkesan bukan sekadar suatu perkhidmatan perundangan. Ia merupakan sebahagian daripada asas kepada keyakinan ekonomi, tadbir urus yang baik dan pembangunan mampan,” katanya.

Masidi pada masa sama menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus menyokong pembangunan BICAM, namun menekankan kebebasan institusi itu perlu terus dipelihara.

BICAM Global ADR Horizons 2026 menghimpunkan hakim, pengamal undang-undang, penimbang tara, mediator, pemimpin industri, ahli akademik dan rakan institusi bagi membincangkan pelbagai isu termasuk timbang tara antarabangsa, pelaburan, pertikaian pembinaan, kecerdasan buatan (AI) serta perkembangan penyelesaian pertikaian alternatif di rantau ini.