KOTA KINABALU: Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program dan Projek Pembangunan Negeri Sabah Tahun 2025 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, menekankan prestasi perbelanjaan pembangunan Sabah serta langkah menyelesaikan projek lewat.
Katanya bagi Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5 RMKe-12), Sabah mempunyai jumlah projek tertinggi berbanding negeri lain iaitu 1,294 projek.
“Prestasi perbelanjaan sehingga 3 November 2025 adalah 70.13 peratus atau RM4.17 bilion daripada peruntukan asal RM5.94 bilion. Angka ini sedikit di bawah purata nasional 71.97 peratus bagi RM86 bilion untuk keseluruhan 9,516 projek,” jelasnya.
Mesyuarat turut menumpukan perhatian kepada projek “Lewat Jadual” atau projek sakit.
Beliau berkata faktor kelewatan utama adalah disebabkan kelemahan kontraktor, kekurangan bekalan bahan, dan cuaca.
“Hasil perbincangan, sembilan projek sakit di Sabah dijangka dapat disiapkan pada suku pertama 2026, memastikan kelancaran pembangunan penting di negeri ini,” katanya.
Selain itu, pengumuman Belanjawan 2026 menyediakan sebanyak 1,143 program atau projek dengan peruntukan RM6.89 bilion, termasuk 188 projek baharu.
“Projek tumpuan bagi Sabah termasuk Talian Penghantaran Southern Link Fasa 1A di Pantai Timur Sabah, pembinaan Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, dan pembinaan jalan baharu dari Kalabakan ke Simanggaris di sempadan Malaysia-Indonesia,” beliau berkata.
Bagi projek di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), perbelanjaan pembangunan bagi 88 projek di Sabah mencapai RM674.3 juta daripada RM713.1 juta yang diperuntukkan, atau 94.5 peratus merangkumi tebatan banjir, pemuliharaan sungai, bekalan air, pembetungan dan pengukuhan bekalan elektrik.
Projek baharu 2026 PETRA yang menjadi tumpuan termasuk Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Moyog (RM252 juta), pemasangan paip transmisi dan tangki simpanan di Bandar Tawau (RM236.6 juta), serta menaik taraf Kolam Pengoksidaan Inanam kepada Loji Rawatan Kumbahan Serantau (RM536 juta).






