Bayaran Khas Interim Naik, Bukti Komitmen Persekutuan – Redonah

Bayaran Khas Interim Naik, Bukti Komitmen Persekutuan – Redonah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Sabah menyambut baik peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, menyifatkannya sebagai bukti komitmen Kerajaan Persekutuan.

Ketuanya, Datuk Redonah Bahanda berkata peningkatan itu mencerminkan kesungguhan menghormati semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta memperkukuh kedudukan kewangan negeri.

Peningkatan ini adalah perkembangan positif hasil pendekatan rundingan berterusan Kerajaan Negeri yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bayaran khas interim itu bukan pengganti kepada hak 40 peratus hasil bersih Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, pihaknya kekal menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memperjuangkan pelaksanaan penuh hak berkenaan melalui rundingan berhemah.

Beliau berkata tambahan peruntukan itu dijangka mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kebajikan rakyat termasuk bekalan air, infrastruktur, pendidikan, kesihatan serta pembangunan luar bandar.

“Peruntukan ini perlu dimanfaatkan secara telus dan berkesan agar manfaatnya dapat dirasai rakyat di seluruh negeri,” katanya.