Sabah Mahu Jadikan Kelestarian Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi – Ketua Menteri

Sabah Mahu Jadikan Kelestarian Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mahu menjadikan kelestarian alam sekitar sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri menerusi pelaksanaan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kekayaan sumber asli Sabah termasuk hutan, biodiversiti, kawasan pesisir pantai dan ekosistem marin perlu dimanfaatkan bagi menarik pelaburan serta menjana aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

“Tugas kita bukan untuk memilih antara pembangunan dan pemuliharaan, sebaliknya melaksanakan pembangunan yang produktif, berdaya tahan dan bertanggungjawab.

“Inilah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. Pertanian, perindustrian dan pelancongan kekal sebagai pemacu utama ekonomi, manakala kelestarian perlu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Persidangan Tindakan Lestari 2026 (SAC 4.0) di Magellan Sutera Resort, di sini, hari ini.

Teks ucapannya disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata, agenda Ekonomi Biru Sabah turut membuka peluang dalam sektor perikanan dan akuakultur mampan, bioteknologi marin, aktiviti maritim serta pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Katanya, kerajaan negeri juga sedang memperkukuh jaminan dan akses bekalan tenaga menerusi Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040, selain mewujudkan peluang pelaburan dalam tenaga boleh baharu dan teknologi baharu.

Dalam pada itu, beliau menggalakkan organisasi di Sabah menyertai inisiatif ‘Zero Waste to Landfill’ atau Sifar Sisa ke Tapak Pelupusan yang menyasarkan sekurang-kurangnya 75 peratus sisa operasi dialihkan daripada tapak pelupusan dalam tempoh 12 bulan.

Hajiji turut mengalu-alukan sumbangan RM50,000 daripada Control Union bagi projek kelestarian sekolah menerusi inisiatif ‘Daripada Kanak-Kanak kepada Kanak-Kanak’.

Beliau menegaskan, kejayaan agenda pembangunan mampan memerlukan kerjasama sektor perniagaan, institusi kewangan, masyarakat dan rakan strategik.

“Sabah mempunyai aset semula jadi yang bernilai dan kini kita perlu memanfaatkannya untuk mewujudkan kelebihan ekonomi yang berkekalan melalui inovasi, pelaburan, pembangunan kemahiran dan kerjasama strategik, sambil memastikan aset-aset ini terus dilindungi untuk generasi akan datang,” katanya.

Persidangan SAC 4.0 dianjurkan Control Union Malaysia dengan sokongan Kedutaan Kerajaan Belanda di Malaysia.