KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memandang serius penyebaran ajaran yang telah difatwakan sesat, susulan operasi terhadap satu program melibatkan fahaman Ahmadiyah Qadiani di sebuah sekolah menengah di sini, pada 31 Mei lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, operasi oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) itu dijalankan hasil aduan awam.
“Kerajaan Negeri melalui JHEAINS memandang serius sebarang usaha menyebarkan ajaran yang telah difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Operasi melibatkan 52 pegawai penguat kuasa agama dengan bantuan 25 anggota polis dari IPD Kota Kinabalu itu mendapati program Jalsa Salana anjuran Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia berlangsung selama tiga hari sejak 29 Mei, dengan kehadiran hampir 300 peserta.
Menurut beliau, pelbagai bahan penerbitan dan promosi berkaitan ajaran tersebut dirampas dan tindakan diambil di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995, dengan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Tambahnya, ajaran Ahmadiyah Qadiani telah difatwakan sesat pada 2006 dan diwartakan pada 2007, justeru umat Islam di negeri ini diminta berwaspada.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memperkukuh pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara,” katanya.






