YPNM Cadang Sabah Pertimbang Semula Arang Batu Bersih

YPNM Cadang Sabah Pertimbang Semula Arang Batu Bersih

0
SHARE

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Cawangan Sabah memuji langkah proaktif dan perancangan strategik Kerajaan Negeri Sabah dalam memperkukuhkan kestabilan bekalan elektrik dan air negeri.

Perkara itu dizahirkan susulan kunjungan hormat Pengerusi YPNM Sabah, David Chan bersama ahli jawatankuasa kepada Menteri Kerja Raya merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Dalam pertemuan tersebut, YPNM Sabah diberi taklimat mengenai pelbagai inisiatif infrastruktur dan tenaga kritikal, termasuk pelancaran Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 100MW hingga 400MWh oleh Sabah Electricity, yang kini merupakan fasiliti BESS terbesar di Asia Tenggara.

Menurut YPNM Sabah, projek itu menjadi pencapaian penting dalam menstabilkan grid elektrik Sabah, khususnya di Pantai Timur dan kawasan pedalaman yang sering berdepan gangguan bekalan.

YPNM Sabah turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama antara Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Sabah Electricity akan meningkatkan kecekapan pengurusan grid serta menjamin bekalan elektrik yang lebih stabil kepada pengguna domestik dan industri.

Selain tenaga boleh baharu, Datuk Seri Dr Joachim berkongsi mengenai penerokaan Teknologi Penukaran Tenaga Terma Lautan (OTEC) sebagai sebahagian pelan hala tuju tenaga hijau Sabah.

Namun, YPNM Sabah menegaskan bahawa Sabah masih memerlukan bekalan tenaga asas yang stabil dan kos efektif bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang.

Sehubungan itu, David Chan mencadangkan agar Sabah mempertimbangkan semula penggunaan loji janakuasa arang batu bersih generasi baharu, dengan mengambil contoh pembangunan loji arang batu moden di Kalimantan.

Katanya, arang batu masih antara sumber tenaga paling menjimatkan dalam jangka panjang sekiranya teknologi bersih dan kawalan alam sekitar terkini diguna pakai.

Beliau menegaskan dasar tenaga tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya perlu berteraskan kemampanan, kemampuan kos dan kebolehpercayaan bekalan demi melindungi pengguna, menyokong pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan ke Sabah.

YPNM Sabah menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri, ECoS dan Sabah Electricity dalam memperjuangkan penyelesaian tenaga yang seimbang dan mampan untuk masa depan Sabah.