BELURAN: Seorang lelaki dewasa maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Telisai Sapi Nangoh, di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.57 tengah hari itu, sebuah Toyota Hilux dan Toyota Unser dilaporkan bertembung, mengakibatkan enam mangsa terlibat.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 45 kilometer, dengan jentera tiba pada jam 1.38 petang.
Komander Operasi melaporkan empat mangsa yang berada di dalam Toyota Hilux, terdiri daripada dua orang dewasa dan dua kanak-kanak, mengalami kecederaan ringan.
Sementara itu, dua mangsa yang berada di dalam Toyota Unser turut terlibat, dengan pemandunya, seorang lelaki dewasa, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Seorang lagi mangsa, seorang wanita dewasa, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke Hospital Beluran menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
Mayat mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi menyelamat dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 2.56 petang setelah keadaan disahkan selamat.
Operasi turut melibatkan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tiga petugas KKM.






